Tuesday, August 3, 2010

PERINGKAT




Lapan jenis pembelajaran untuk memperolehi maklumat pada tahun 1977,Gagne cuba menghuraikan lapan jenis pembelajaran daripada peringkat yang mudah kepada peringkat yang kompleks. Pembelajaran di aras yang tinggi bergantung pada pembelajaran di aras yang rendah. Gagne telah mengenal pasti lapan jenis pembelajaran seperti berikut :

(a) Pembelajaran Isyarat


Jenis pembelajaran ini merupakan pembelajaran yang paling mudah. Ia lebih merupakan perubahan tingkah laku yang disebabkan oleh pengaruh kebiasaan. Misalnya, apabila loceng berbunyi pada 7.30 pagi, semua murid akan berkejar ke bilik darjah masing-masing. Apabila guru masuk ke bilik darjah, semua murid akan terus beridri untuk member penghormatan. Pembelajaran isyarat seperti ini tidak banyak menggunakan akal fikiran. Seseorang individu mempelajari gerak balas terhadap sesuatu isyarat. Contohnya, apabila seseorang menguap, kita dapat isyarat dia mengantuk. Apabila ayah pulang ke rumah dengan wajah masam atau muram, anak-anaknya dapat isyarat ayah mereka tidak suka diganggu. Pembelajaran berlaku melalui pelaziman tingkah laku. Contohnya, bila guru masuk ke bilik darjah, semua murid akan berdiri dan memberi ucapan, “Selamat sejahtera, cikgu!”. Dalam hal ini, murid-murid telah dilazimkan dengan tingkah laku tersebut.


(b) Pembelajaran Gerak Balas

Pembelajaran rangsangan gerak balas bergantung kepada proses peneguhan. Ini bermakna guru perlu memberi pujian dan ganjaran tingkah laku yang diingati. Proses peneguhan penting untuk memperkuatkan pertalian antara rangsangan dengan gerak balas. Peneguhan mesti diberi secara konsisten dan tekal supaya gerak balas yang positif dapat dikekalkan. Contohnya, Ali menunjukkan kerja sekolah yang dia dapat 80%. Ibunya memberi pujian, “Bagus, Ali pandai !”. Ali akan mengulang tingkah laku itu lagi (membuat kerja sekolah dengan baik) untuk mendapat pujian daripada ibunya.


(c) Pembelajaran Rangkaian Motor

Pembelajaran rangkaian motor digunakan dalam pembelajaran kemahiran seperti permainan, muzik, elektronik, mekanikal dan lain-lain. Rangkaian merupakan satu siri tingkah laku yang berkaitan untuk melengkapi tugasan yang dijalankan. Misalnya, ketika menyampaikan bola dalam permainan tenis, pemain hendaklah berdiri dengan posisi tubuh yang sesuai, di tapak yang munasabah dan mengayun raket dengan gaya yang betul agar bola tenis dipulangkan dengan baik. Siri tingkah laku ini disebut rangkaian.


(d) Pembelajaran Pertalian Bahasa

Untuk menyatakan sesuatu prinsip, pelajar memerlukan kemahiran bahasa untuk mengaitkan fakta, data dan konsep. Pertalian bahasa merupakan satu rangkaian berbahasa. Ini berlaku apabila seseorang kanak-kanak menghubungkaitkan apa yang dilihat dengan nama objek secara menyebutnya. Misalnya, ketika melihat sebiji bola, kanak-kanak itu akan menyebut bola. Pertalian berbahasa seperti ini hendaklah diulangi sehingga beberapa kali untuk menjamin peneguhan pertalian. Ia memerlukan kemahiran berbahasa yang telah dipelajari dahulu.


(e) Pembelajaran Diskriminasi

Belajar membezakan benda-benda yang dipelajari mengikut ciri-ciri tertentu, untuk memudahkan proses mengkategori dan menyimpannya dalam ingatan. Pada masa yang sama, pelajar dapat membezakan rangsangan atau maklumat penting berbanding maklumat tidak penting dan memberi gerak balas berlainan untuk rangsangan yang berlainan. Pembelajaran diskriminasi adalah sangat penting dalam proses pembelajaran. Pelajar dapat menapis maklumat penting daripada maklumat tidak penting dan ini memudahkan proses pengkodan maklumat untuk disimpan dalam ingatan jangka panjang.

(f) Pembelajaran Konsep

Pembentukan konsep bermula dengan pertalian berbahasa dan diskriminasi, iaitu mengenali ciri-ciri sesuatu konsep secara tepat. Pelajar dapat membentuk konsep yang baik setelah membuat persepsi dan pengamatan terhadap objek, orang dan peristiwa. Pelajar perlu didedahkan dengan banyak contoh-contoh yang jelas supaya dia dapat membentuk konsep yang betul dan tepat. Ini berlaku apabila murid bertindak balas kepada benda-benda sebagai satu kelas atau kategori. Misalnya, muird yang mempelajari warna, saiz dan bentuk, akan menggolongkan kuning, merah, hitsm, putih dan hijau sebagai warna; bulat, segitiga, segiempat dan bujur sebagai bentuk dan bola sepak, bola lisut, bola tenis, bola jaring sebagai bola.

(g) Pembelajaran Hukum

Pembelajaran ini melibatkan gabungan dua atau lebih konsep yang berkaitan dalam sesuatu urutan atau rangkaian. Pembelajaran ini melibatkan penggunaan rumus, prinsip dan generalisasi. Ini merupakan pembelajaran yang kompleks kerana ia melibatkan pembelajaran konsep rangkaian dan pertalian berbahasa. Misalnya, ketika murid mempelajari apabila air membeku, isipadunya bertambah. Konsep-konsep yang perlu dipelajari ialah ‘membeku;. ‘isipadu’ dan ‘bertambah’. Kemudiannya, konsep-konsep ini perlu dirangkaikan atau dikaitkan di antara satu sama lain untuk membentuk hukuman tersebut. Contoh yang lain ialah apabila seseorang mengaitkan konsep ‘bulat’ dan ‘bola’ ketika mempelajari hukum ‘benda-benda bulat tergolek’.

(h) Pembelajaran Penyelesaian Masalah

Pembelajaran ini melibatkan penggunaan prinsip, rumus, generalisasi, konsep dan hukum untuk menyelesaikan masalah dalam sesuatu situasi baru. Terdapat beberapa langkah dalam penyelesaian masalah, iaitu mengenal masalah, mencari maklumat, membuat hipotesis, membuat pilihan, membuat rumusan. Penyelesaian masalah merupakan pembelajaran paing kompleks. Ia melibatkan penggunaan konsep serta pembelajaran hokum. Gagne telah menggunakan urutan-urutan penyelesaian masalah sebagaimana yang dicadangkan oleh John Dewey. Urutan langkah-langkah adalah seperti berikut : a) Mengenal masalah b) Mencari maklumat c) Membuat hipotesis (memilih cara menyelesaikan masalah) d) Menguji hipotesis (melaksanakan pelan penyelesaian) e) Membuat rumusan (melihat kembali dan menyemak) Pembelajaran penyelesaian masalah bergantung kepada jenis pembelajaran di peringkat yang rendah daripadanya (iaitu yang sebelumnya). Selagi jenis-jenis pembelajaran di bawah seperti pembelajaran hukum, pembelajaran konsep, diskriminasi, perkaitan berbahasa, rangkaian dan pembelajaran isyarat belum dicapai, maka penyelesaian masalah tidaklah dapat dijalankan.

No comments:

Post a Comment